Rabu, 28 Oktober 2009


[Image: balut02.jpg]REAL Madrid punya sebab untuk berasa marah tindakan penyerang termahal dunia, Cristiano Ronaldo yang mengalami kecederaan ketika mewakili Portugal pada saingan kelayakan Piala Dunia minggu lalu.

Seharusnya dia tidak berada dalam skuad negara itu ketika menentang Hungary kerana kecederaan buku lali kanan yang dialami ketika menentang Marseille dalam saigan Liga Juara-Juara pada akhir September lalu, boleh bertambah parah.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan. Akibatnya dia kini terpaksa berehat sebulan dan dalam tempoh itu Real Madrid tanpa kelibat Ronaldo dalam empat aksi La Liga dan dua perlawanan Liga Juara-Juara.

Real akan berdepan Valladolid (esok), Sporting Gijon (25 Oktober), Getafe (1 November) dan Atletico Madrid (8 November) dalam saingan La Liga; menentang AC Milan awal pagi Khamis ini dan 3 November dalam Liga Juara.

"Jelas itu bukan kecederaan baru," kata Ketua Pengarah Real, Jorge Valdano. "Saya faham perasaan yang kuat untuk membantu negaranya, tetapi ia juga perlu mengambil kira harapan kelab yang membuat pelaburan besar."

Selepas enam perlawanan La Liga, Ronaldo meledak lima gol dan kini berada di tangga kedua penjaring terbanyak berkongsi tempat dengan Zlatan Ibrahimovic (Barcelona). David Villa (Valencia) yang diintai Manchester United, teratas dengan enam gol.

Dengan satu pertiga gol Real (17 gol dalam enam perlawanan), ia menggambarkan kelab kedua terkaya dunia dengan aset melebihi AS$1.3 bilion itu, bergantung harap kepada Ronaldo untuk mendapat dan mencipta peluang gol.

Namun demikian, ia memberi peluang kepada anak buah Manuel Pellegrini menunjukkan kekuatan tanpa Ronaldo buat sementara. Pastinya 'lelaki kacak dari Brazil', Kaka akan jadi tumpuan dan harapan.

Dengan hanya dua gol dalam enam perlawanan liga, Kaka, walaupun dikatakan memegang watak pembantu, namun dia tetap berasa tekanan untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Ronaldo lebih-lebih lagi dia adalah pemain kedua termahal dibeli Real selepas tonggak Portugal itu.

Menyeberangi sempadan di sebelah utara, Lyon yang akan melayan kunjungan Sochaux dan Bordeaux berkunjung ke Auxerre, dua pasukan teratas dalam Ligue 1 Perancis, menjadi tumpuan esok.

Sementara dalam kancah Serie A Itali, pasukan glamor, AC Milan yang terperosok di tangga ke-12 menanti kunjungan AS Roma esok.

Di Bundesliga Jerman, kelab gergasi, Bayern Munich berdepan tekanan daripada penyokong dan pengurusan apabila hanya berada di tangga kelapan selepas lapan perlawanan dengan catatan 3-3-2. Tanpa Franck Ribery yang masih cedera begitu juga Arjen Robben, menyaksikan kunjungan mereka ke SC Freiburg esok tanpa menjanjikan apa-apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan